Sungguh
saya terkesima dengan kesederhanaannya. Pengajarannya sungguh bersahaja tetapi
berwibawa. Dalam kuliah selepas Subuh itu, dia merujuk kepada kitab kuning –
Muniyatul Musolli, karangkan Syeikh Daud Al Fatani. Dia bukan ustaz yang
popular, pun bukan ilmuwan selebriti yang sering muncul di kaca TV. Dia hanya
imam biasa, bergamis dan berserban seadanya. Namun dia punya suara yang merdu
dan bacaan qiraat yang sangat mantap. Rela mengajar, walaupun dengan bilangan murid
yang paling minima!
Saya
masih ingat analoginya, “lampu isyarat sudah hijau, tetapi kereta di hadapan
kita masih tidak bergerak-gerak. Kita hendak marah dengan kelembapannya. Tetapi
sebaik sahaja kita melihat pada kereta itu tertera tanda L, kita jadi sejuk dan
memaafkan. Oh, dia masih belajar memandu…”
Dia
menyambung, “maka begitulah kita harapkan semasa belajar ini. Kita harapkan
Allah ampunkan kita jika kita berterusan belajar. Ibadah kita banyak lagi
kecacatan dan kekurangannya, tetapi apabila kita berterusan belajar, semoga
Allah memaafkan kita. Contohnya, solat yang kita dirikan selama ini, siapa yang
berani menjamin semuanya sudah sempurna? Semuanya sudah tepat seperti solat
nabi? Tidak ada siapa yang berani. Lalu apa jalan keluarnya? Ya, dengan berterusan
belajar. Insya-Allah, Tuhan akan ampunkan kita sekiranya kita masih belajar
solat.”
Benarlah,
seorang dikira sampai ke tahap ilmu yang sempurna apabila dia terus belajar.
Rasa tidak berilmu ialah sifat utama orang berilmu. Semakin kita belajar,
terasa semakin banyak perkara yang tidak kita ketahui. Inilah sifat sejati
orang berilmu. Lihatlah imam-imam besar bertahap mujtahid yang berterusan
belajar tepat seperti yang sering diungkapkan, tuntutlah ilmu daripada buaian
hingga ke liang lahad.
Walau
sebanyak mana pun ilmu yang telah digali oleh manusia, hakikatnya masih
sekelumit dibandingkan dengan ilmu Allah yang melangit. Justeru, sebanyak mana
pun dan setinggi mana pun ilmu yang dimiliki seseorang, dia sewajarnya terus
merendahkan diri kepada Allah. Di antara tanda orang yang merendah diri dengan
Allah itu, dia juga akan merendah diri sesama manusia. Justeru, jika terdapat
ahli ilmu yang sombong, dia hakikatnya bukan ilmuwan tetapi hanya seorang hina
dari kelas bawahan!
Bergaullah
dengan ahli ilmu yang sebenar, kita akan terasa tenang dengan kerendahan
hatinya. Tutur kata dan tingkah lakunya sangat menyenangkan. Semakin tinggi
penghormatan yang diberikan oleh manusia kepadanya, semakin tinggi pula
penghormatannya kepada manusia lain. Ketangkasannya dalam berfikir disepadukan
dengan kelembutan hatinya dalam berzikir.
Kini
semakin ramai orang yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi dan kepetahan
berkata-kata yang sangat memukau. Namun, kita masih kekurangan orang yang
mempunyai ketinggian budi dan kehalusan pekerti. Oleh kerana itu para ilmuwan
kini kebanyakannya hanya mampu mengumpulkan peminat, bukan pengikut.
Kata-katanya hanya menjadi hiburan penyedap pendengaran, kurang diterjemahkan
ke dalam bentuk tindakan yang membawa penyelesaian.
Betapa
Tok guru dahulu, hidupnya sederhana tetapi terlalu kaya dengan karisma dan
wibawa. Orang sanggup mati kerananya. Kata-katanya diikuti dari hati, bukan
sekadar ambil hati. Apa rahsianya? People dont care how much you know,
untill they know how much you care – manusia tidak peduli sejauh mana
pengetahuan anda, sehingga mereka tahu sejauh mana anda ambil peduli!
Ya,
ulama-ulama dahulu bukan hanya mewarisi ilmu para nabi tetapi yang paling utama
mereka mewarisi ‘hati’ para nabi. Sifat-sifat mahmudahnya begitu ketara. Jika
mereka berbicara, pasti disebut kelebihan-kelebihan guru-guru mereka
sebelumnya. Jatuh pena di tangan, tidak akan diletakannya di atas kitab atau Al
Quran. Jangan ada sesuatu yang diletakkan lebih tinggi daripada Al Quran dan Al
Hadis… Bukan sahaja di dalam hati, bahkan daripada segi kedudukan fizikalnya.
Sering
kali mereka menjawab ‘wallahuaklam’ pada soalan-soalan yang diajukan.
Mereka tidak berlagak seperti manusia serba tahu. Mereka boleh bertukar posisi,
bertindak sebagai murid yang banyak mendengar apabila dirasakan orang yang
dihadapinya lebih mengetahui. Bukan mudah menjadi ‘pendengar’ ketika selalu
berperanan sebagai ‘penutur’ tetapi kerana sifat tawaduk mereka, para ulama
silam sanggup kelihatan bodoh daripada terus berlagak pandai dan
memandai-mandai.
Sesungguhnya,
ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Biarpun mungkin tidak punya
peminat, tetapi pengikut yang setia tetap ada. Jiwa sufi yang tersemat di dalam
diri menyebabkan mereka kaya di dalam kesederhanaannya. Mereka itulah murabbi
sejati, sekalipun bukan seorang selebriti.
Guru
yang mengajar kitab kuning, yang saya ceritakan pada awal tulisan ini hanya
menaiki motosikal… tetapi sungguh, saya jarang memandang wajahnya melainkan di
situ ada senyuman!



